Seketika Bersama Tian Chua
Saturday, November 13, 2010
Ketika berkunjung ke Kuala Lumpur pada minggu lepas saya telah meluangkan banyak masa untuk bertemu dengan rakan-rakan blogger dan beberapa pemimpin politik termasuk Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
Saya mula mengenali Tian Chua ketika kunjungan beliau ke Sabah pada tahun lepas di Penampang. Ramai orang yang bersalam dan ada juga yang sempat mengambil gambar kenangan bersama Tian Chua ketika tiba dalam dewan.
Seorang rakan berbisik kepada saya bahawa Tian Chua seorang yang rajin berkomunikasi dengan semua orang tanpa mengira latar belakang seseorang itu. Sikap beliau yang sebegitu rupa membuatkan saya teringin untuk mendekati beliau.
Tatkala sedang menunggu kereta yang beratur panjang "mengangkut" setiap pemimpin PKR yang datang ketika itu, Tian Chua telah berkesempatan bersembang dengan beberapa orang yang berada disamping beliau, ketika itu kedengar mereka berbicara tentang hal yang disuarakan beliau dalam Parlimen.
Pada ketika itu saya masih tidak mendekati beliau kerana bimbang menganggu perbualan mereka. Tiba masa ketika Tian Chua bersendirian saya cuba untuk bersalam dan bersembang dengan beliau, saya juga sempat menangkap sekeping gambar kenangan bersama.
Kami turut berkesempatan untuk bertukar kad dan bertukar nombor talipon, sejak daripada itu hubungan saya dan Tian Chua dekat sekali apabila saya sering menanyakan isu-isu tertentu dan bertukar-tukar pendapat melalui SMS.
Sepanjang pertemuan kami di Kuala Lumpur pula kami telah berborak hampir dua jam dalam pejabat beliau di Sentul. Antara perbualan kami ialah mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dan Galas dan tidak ketinggalan juga mengenai Pemilihan PKR.
Saya telah mendapatkan penjelasan daripada beliau mengenai beberapa artikel dan komen dari individu tertentu mengenai pemilihan PKR kononnya wujud pilih kasih dalam pemilihan PKR. Ulasan ringkas beliau ialah, Jawatankuasa Pemilihan Parti yang dilantik adalah independent, mereka tidak memihak kepada sesiapa.
Sementara itu Tian Chua telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR dan slogan beliau pula adalah "Reformis Teras Perjuangan". Marilah kita memberikan sokongan padu pada Tian Chua untuk membawa suatu perubahan baru dalam PKR kerana beliau adalah pemimpin yang akrab dengan rakyat.





