'Sudah dilepas, ia menggigit'

Sunday, February 25, 2018

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR: Tindakan tokoh korporat Tan Sri Robert Kuok melupakan jasa kerajaan diibaratkan bagai 'melepaskan anjing tersepit, sudah dilepas ia menggigit'.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Kuok seolah-olah lupa daratan kerana tidak menghargai sokongan Kerajaan BN yang banyak membantunya sehingga menjadi jutawan.
"Ini masalah manusia sekarang. Bukan beliau seorang saja, ada juga bekas (pemimpin) kita sekarang pun lupa.
"Mereka lupa yang dulu waktu ada kuasa, kita sokong mereka, bantu mereka dan pastikan mereka kekal dengan jawatan tinggi.
"Bila dah dapat benda, mereka buruk-burukkan pihak yang selama ini mendukung mereka," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Volunteerism in Community Engagement sempena Hari Wilayah Persekutuan 2018 di Dataran Pasar Seni di sini, hari ini.
Tengku Adnan mengulas tulisan blogger, Raja Petra Kamaruddin, menerusi portal Malaysia Today, yang antara lain mendakwa, Kuok mempunyai agenda menjatuhkan BN dan diganti DAP bagi membolehkan kaum Cina memerintah negara, sama ada secara langsung atau di belakang tabir.
Raja Petra dalam artikelnya turut mendakwa, Kuok menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketika pelancaran pada 1970, dan menyuarakan bantahan kepada pemimpin UMNO seperti dilaporkan akhbar Singapura, The Straits Time pada 4 Disember tahun lalu.
Tengku Adnan menyatakan kehairanan terhadap tindakan Kuok yang membelakangkan hak orang Melayu sebagai majoriti di negara ini dan berkomplot dengan pihak tertentu bagi mengambil alih tampuk kerajaan hari ini dari tangan Melayu dan Bumiputera.
"Saya tidak tahu kenapa dia (Kuok) naikkan sentimen kononnya mahu negara ini ditadbir bangsa Tionghua. Ini boleh menyakiti orang Melayu dan Bumiputera.
"Dia tahu bahawa daripada statistik kerakyatan Malaysia, Melayu dan Bumiputera adalah 65 hingga 68 peratus, Cina adalah lebih 20 peratus dan India tujuh peratus.
"Kita bertahan disebabkan hidup perpaduan dalam kepelbagaian. Kita (BN) jaga semua kaum, tak kira Melayu, Cina, India, Kadazan mahupun Iban," katanya.

(Sumber : Berita Harian)

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP