Veteran sertai politik tanda tak puas hati terhadap kerajaan, kata penganalisis
Thursday, May 6, 2021
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, hasrat sebuah kumpulan veteran tentera untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menunjukkan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap kerajaan.
Penganalisis sosiopolitik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang pernah berjuang untuk memastikan negara selamat daripada ancaman luar, sekarang mungkin mahu melindungi keadaan dalaman juga dengan membangkitkan masalah di Parlimen.
“Mereka mungkin tidak gembira dengan kebajikan veteran, keselamatan negara dan iklim ekonomi semasa,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pengumuman Persatuan Veteran ATM yang menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kira-kira dua bulan lalu untuk menubuhkan Parti Kemakmuran Negara.
Mereka bercadang bertanding kira-kira 50 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada PRU15 menerusi parti politik baharu itu.
Awang Azman berkata, pandemik Covid-19 mungkin mendorong mereka ke barisan hadapan medan perang politik untuk memperjuangkan dasar negara yang merangkumi semua.
Katanya, mereka sepatutnya berganding bahu dengan veteran polis, imigresen dan kastam untuk memperkukuhkan parti politik baharu itu.
“Impak ke atas masyarakat Melayu dan bank undi akan bertambah besar nanti.”
Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan bagaimanapun berkata, kumpulan itu perlu menjauhi politik.
“Sebaik saja mereka menceburi politik, mereka perlu menyokong satu pihak. Mereka tidak patut merosakkan nama angkatan tentera ketika berada dalam politik.”
Tambahan, katanya, kumpulan itu memerlukan sumber untuk bertanding di 50 kerusi Parlimen menentang parti politik lebih dikenali rakyat dalam Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN).
“Ia kelihatan seperti tugas yang mustahil, kecuali mereka mempunyai rancangan baik untuk memenangi hati rakyat pada PRU15.”
Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia pula berkata, kumpulan itu berkemungkinan besar akan memecahkan undi anggota tentera dan veteran antara PN, parti pembangkang dan parti baharu itu.
Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan bagaimanapun berkata, kumpulan itu perlu menjauhi politik.
“Sebaik saja mereka menceburi politik, mereka perlu menyokong satu pihak. Mereka tidak patut merosakkan nama angkatan tentera ketika berada dalam politik.”